Pusat Bimbingan Karya

Saturday 30 April 2011

Faktor-faktor kejayaan menyatupadukan masyarakat


Soalan 1
Sahabat anda dari sebuah negara jiran menulis surat kepada anda untuk bertanya tentang faktor-faktor kejayaan menyatupadukan masyarakat berbilang kaum di negara anda.

Jawab surat itu selengkapnya.
                                                                                                                               Lot 5246, Jalan Kapor 91,
       Legendry Villa,
       93150 Kuching,
       Sarawak,
       Malaysia.

       10 April 2011
           
Menemui saudara Adrian yang kini berada di Singapura.  Semoga saudara berada dalam keadaan sihat sejahtera.

Saudara,
Apa khabar saudara?  Saya di sini dalam keadaan sihat walafiat.  Surat saudara telah selamat saya terima minggu lalu.  Maafkanlah saya kerana lewat membalas surat saudara kerana saya sibuk dengan persediaan sukan tahunan sekolah.  Dalam warkah tersebut, saya telah dimaklumkan bahawa saudara berminat untuk mengetahui faktor-faktor kejayaan negara saya menyatupadukan masyarakat berbilang kaum di negara Malaysia.  Tanpa mengecewakan saudara, saya akan berkongsi segala maklumat tentang isu tersebut dengan saudara.
Malaysia merupakan sebuah negara yang sedang membangun, bukan sahaja dari segi ekonomi tetapi bidang pertanian, perindustrian, sukan dan lain-lain.  Malaysia dikategorikan sebagai negara yang istimewa kerana mempunyai pelbagai kaum serta berbilang etnik. Sebagai contohnya, tiga kaum utama iaitu Melayu, Cina, India dan suku-suku kaum lain seperti Kadayan, Kenyah hidup dalam suasana rukun dan damai.  Perkembangan negara yang pesat berserta dengan keadaan yang keistimewaan ini membolehkan negara Malaysia duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara-negara maju yang lain seperti Amerika Syarikat, Jepun, China  termasuklah negara saudara, Singapura.  Kejayaan negara Malaysia mengekalkan perpaduan masyarakat yang berbilang kaum sejak merdeka hingga kini telah menunjukkan pencapaian negara yang amat mengagumkan. Jadi, tidak silaplah jika saudara ingin mengetahui resipi-resipi kejayaan negara saya menyatupadukan masyarakat untuk menambah pengetahuan saudara. 

Saudara,
Untuk pengetahuan, usaha Malaysia dalam menyatupadukan masyarakat berbilang kaum nescaya tidak membuahkan hasilnya tanpa pegangan teguh konsep atau gagasan 1Malaysia yang diilhamkan oleh Perdana Menteri kami. Saudara tentu tidak memahami konsep ini, janganlah saudara risau, kerana saya akan menjelaskannya.  Sebenarnya, konsep 1Malaysia ini telah wujud semasa Perdana Menteri kami yang ke-6, yakni Datuk Seri Najib Tun Razak mula memegang tampuk pemerintahan sebagai Perdana Menteri.  Gagasan 1Malaysia ini secara jelasnya mengutamakan keadilan dan kesaksamaan dalam perkongsian kekayaan dan kemajuan negara tanpa mengira kaum dan agama, iaitu usaha mewujudkan satu bangsa Malaysia berdasarkan pembentukan warganegara yang menganut pelbagai budaya dan agama, dan bukan bercirikan integrasi bangsa dan agama. Dengan menghayati konsep ini, kebajikan setiap kaum dapat dijaga, malah dipenuhi.  Misalnya, dari segi pendidikan, semua pelajar diberi biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) secara automatik untuk melanjutkan pelajaran sekiranya berjaya mendapat keputusan cemerlang, yakni 9A+ dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), tanpa mengira warna kulit atau status kaum.  Dalam bidang kesihatan pula, kerajaan memperkenalkan Klinik 1Malaysia yang diwujudkan untuk membolehkan setiap warganegara Malaysia menikmati khidmat perubatan yang baik dengan kos bayaran yang rendah, serendah RM1.  Usaha ini turut dilaksanakan untuk merealisasikan perpaduan masyarakat pelbagai kaum. Prakarsa yang efisien seperti memperbanyak sekolah kebangsaan, memperbanyak aktiviti yang menyumbang kepada perpaduan seperti aktiviti kemasyarakatan, bergotong-royong dan sebagainya telah dilakukan.  Ikhtisarnya, konsep 1Malaysia yang dapat menyumbang kepada perpaduan telah menjadi alat perjuangan kerajaan dalam menyatupadukan rakyat jelata.
Selain itu, rakyat diseru supaya sentiasa bertolak ansur untuk mengelakkan pertelingkahan dan perselisihan faham.  Rakyat Malaysia disemai semangat kekitaan, iaitu sebagai warganegara Malaysia, kita merupakan satu keluarga.  Justeru, masyarakat yang berbilang kaum dinasihati supaya tidak mengkritik kaum dan agama yang lain. Jurang ekonomi atau jurang status kehidupan penduduk juga dikurangkan. Kita sedar bahawa persefahaman antara kaum adalah asas kepada perpaduan dan seharusnya dipraktikkan dalam diri generasi muda terutamanya sejak di bangku sekolah.  Sekolah yang merupakan alma mater telah menyisipkan nilai-nilai murni dalam atma setiap pelajar.  Sebagai contohnya, nilai toleransi, nilai hidup bersama secara aman, nilai kasih sayang dan sebagainya.  Dengan adanya nilai-nilai murni ini dalam diri, pelajar sedar bahawa mereka sebenarnya merupakan satu bangsa walaupun berlainan kulit tetapi matlamat untuk memperjuangkan nasib tanah air yang disayangi adalah sama.  Dalam konteks yang sama, kepentingan perpaduan juga diselitkan dalam mata pelajaran Pendidikan Moral, Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan dan Pendidikan Agama Islam.  Lantaran itu, pelajar didedahkan dengan kepentingan menjaga keharmonian antara kaum dan tidak kurang juga menghormati antara agama, adat, kebiasaan dan kepercayaan kaum lain.  Penyertaan dalam aktiviti atau kelab juga merupakan pemangkin kepada perpaduan.  Sesebuah organisasi kelab atau sukan yang disertai berbilang kaum merupakan jalan permulaan ke arah menyatupadukan warganegara Malaysia.  Hal ini demikian kerana mereka dapat saling memahami antara satu sama lain melalui interaksi di sekolah.  Izharnya, anak watan Malaysia yang mengutamakan kejayaan dapat dilahirkan dengan adanya semangat bersaing, menghargai negara yang dicintai dan yang paling penting semangat bersatu padu dan saling menghormati. 
Sementelahan  itu, kerajaan juga mengambil inisiatif yang proaktif  dengan menggalakkan rakyat saling  mengambil berat dan mengunjungi antara satu sama lain sejak di peringkat sekolah rendah lagi.  Hidup berjiran dengan kaum yang lain turut mengukuhkan perpaduan antara satu sama lain. Hal ini kerana jiran sepakat membawa berkat.  Dengan sentiasa bertegur sapa dan berkongsi pahit dan manis bersama, hubungan antara jiran nescaya akan menjadi erat.  Semasa musim perayaan, kami saling mengunjungi antara satu sama lain.  Dengan adanya rumah  terbuka semasa sambutan Hari Raya, Tahun Baru Cina, Hari Deepavali, Hari Gawai dan sebagainya, kami dapat merasai dan memahami budaya yang berbeza daripada pelbagai kaum seperti budaya masyarakat Cina yang tidak menyapu rumah mereka ketika perayaan kerana dikhuatiri akan turut menyapu segala rezeki dan keuntungan yang ada. Kami juga berpeluang merasai masakan tradisional yang berlainan seperti rendang, kari ayam, maruku,  nasi ayam Hainam dan sebagainya.  Pada masa yang sama, kami juga berpeluang menyaksikan keunikan pakaian tradisional pelbagai kaum, contohnya, baju kurung, chengsam, sari dan sebagainya.  Untuk  mengukuhkan perpaduan, sistem jiran tetangga juga dihidupkan semula.  Dalam sesebuah komuniti, pelbagai kaum bersendel bahu dalam menjalankan misi atau aktiviti umpamanya gotong-royong membersihkan persekitaran, gotong-royong ketika kenduri-kendara, dan sebagainya.  Hal ini tentu akan mengeratkan hubungan silaturahim antara kaum dan kerja dapat disiapkan dengan lebih berkesan.  Interaksi sesama kaum juga dapat ditingkatkan. Maka, sudah terang lagi bersuluh bahawa kemesraan hubungan antara kaum melalui kunjungan semasa majlis rumah terbuka dan sokongan terhadap sistem jiran tetangga dapat menyatupadukan masyarakat berbilang kaum.
Di samping itu, media massa juga memainkan peranan yang signifikan dalam usaha menyatupadukan masyarakat berbilang kaum.  Media massa merupakan wahana yang utama untuk menyalurkan informasi kepada masyarakat.  Mesej atau artikel yang berkaitan semangat perpaduan dan menggalakkan perpaduan telah disampaikan melalui surat khabar, majalah, poster, internet dan sebagainya. Lebih-lebih lagi, karya sastera seperti “Seuntai Kata Untuk Dirasai”, “Dirgahayu Bahasaku” dan sebagainya daripada karya sasterawan negara yang tersohor, yakni A. Samad Said dan lain-lain lagi juga telah diperkenalkan dalam sistem pendidikan melalui mata pelajaran bahasa.  Tambahan pula pelbagai ceramah oleh tokoh-tokoh yang boleh memberikan impak yang positif juga diadakan. Untuk pengetahuan sudara, Perdana Menteri Datuk Seri Najib sering mengadakan perjumpaan dengan rakyat jelata, apatah lagi apabila menjelang musim pilihan raya negeri saya, negeri Sarawak yang sudah berlalu pada 16 April lalu, kebanyakan isu yang menjadi fokus adalah tentang peri pentingnya semangat perpaduan antara kaum dan gagasan 1Malaysia.  Kempen-kempen yang berkesan seperi “Kempen Hidup Bersama Secara Aman”, “Kempen Satu Bangsa, Satu Negara”, “Kempen Kekalkan Peraduan” juga dilaksanakan secara efektif, istiqamah dan bukan hangat-hangat tahi ayam.  Klip video atau iklan mengenai kepentingan perpaduan juga dipaparkan melalui media elektronik, misalnya, melalui kaca televisyen atau internet. Hal ini menyuntik semangat kepada warganegara,  terutama generasi muda untuk terus memelihara perpaduan kaum kerana mereka adalah generasi pelapis yang akan terus membangunkan negara, bak kata pepatah, pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara.
Intihanya, pelbagai faktor telah menyumbang kepada kejayaan menyatupadukan masyarakat berbilang kaum di negara saya.  Walau bagaimanapun, anggota masyarakat harus bersendel bahu dan menggalas tanggungjawab serta obligasi masing-masing dalam merealisasikan hasrat memupuk perpaduan, bak kata pepatah, ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni.  Dengan itu, barulah Wawasan 2020 dapat dicapai dan kelestarian hidup harmoni dapat dijamin.  Sekian sahaja dan sampai di sini sahaja coretan kali ini, sambutlah salam sejahtera  daripada saya untuk saudara dan keluarga.  Jumpa lagi di lembaran yang akan datang.


                                                                                                                                                     Sahabatmu,
                                                                                                                                              Alvin
80 markah                                                                                                      


B          - ayat gramatis, lancar
            - ada sedikit kesalahan kosa kata. Cuma kurang rangkai kata menarik / peribahasa digunakan
I           - menepati tugasan
            - setiap huraian idea jelas, berkembang

1 comment:

  1. it was not that usefu for meeeee.But anyway thanxxxx

    ReplyDelete