Pusat Bimbingan Karya

Sunday 1 May 2011

Langkah-langkah menangani masalah kenaikan harga barangan dan kekurangan bekalan makanan

SOALAN 1
Pengguna-pengguna hari ini berhadapan dengan pelbagai masalah yang membebankan mereka dan keluarga.  Antara masalahnya ialah kenaikan harga barangan dan kekurangan bekalan makanan di pasaran.  Masalah ini, jika gagal ditangani dengan segera boleh menimbulkan pelbagai masalah yang serius terhadap masyarakat dan negara. 

Bincangkan langkah-langkah untuk menangani masalah ini supaya tidak terus berlarutan dan menjadi semakin serius.  

Mutakhir ini, kita sering dikejutkan dengan isu kenaikan harga barangan dan kekurangan bekalan makanan di pasaran. Isu-isu tersebut seakan-akan tidak pernah engsot dari bibir masyarakat, bak kata pepatah, tak tumbuh tak melata, tak sungguh orang tak kata. Selari dengan kegawatan ekonomi, masalah kenaikan harga barangan dan kekurangan bekalan makanan di pasaran bukan sahaja merunsingkan masyarakat malahan membebankan rakyat jelata. Bayangkan betapa susahnya kehidupan rakyat apabila dihimpit dua masalah serentak. Walau bagaimanapun, pelbagai mekanisme dapat diaplikasikan untuk menangani permasalahan ini. Persoalannya, bagaimanakah cara terbaik menangani masalah yang menjadi duri dalam daging kepada masyarakat kita hari ini?
Pada hemat saya, kerajaan memainkan peranan yang signifikan dalam usaha menangani masalah kenaikan harga barangan dan kekurangan bekalan makanan di pasaran. Langkah pemantauan harga barangan dan penetapan harga siling harus dilaksanakan secara istiqamah dan berkesan. Tindakan ini bertujuan untuk memastikan tiada peniaga yang akan menaikkan harga barangan sesuka hati dan yang paling penting adalah dengan menetapkan harga barangan pada kadar yang ditentukan oleh pihak kementerian berkenaan seperti harga gula RM2.20 sekilogram. Tidak terkecuali, kerajaan juga harus menguatkuasakan undang-undang tertentu atau memperketat undang-undang yang sedia ada. Kita sememangnya difahamkan bahawa undang-undang yang luwes tidak dapat mengubah keadaan. Sebaliknya dengan penguatkuasaan undang-undang yang ketat, seperti hukuman penjara, denda yang setimpal atau lesen perniagaan ditarik balik, barulah peniaga-peniaga akan sentiasa berwaspada dan berasa serik untuk menaikkan harga barangan atau menyorokkan bekalan makanan sesuka hati. Dalam konteks yang sama, kerajaan juga harus memperkasa peranan Tribunal Tuntutan Pengguna serta melindungi hak pengguna dari semasa ke semasa, tanpa mengira apa-apa cara sekalipun. Tindakan pantas terhadap laporan kenaikan harga barangan sesuka hati atau kekurangan bekalan makanan di pasaran haruslah diambil supaya kebajikan dan hak rakyat sebagai pengguna dipelihara. Bukan itu sahaja, kerajaan juga bertanggungjawab menggiatkan aktiviti Industri Kecil dan Sederhana (IKS) serta aktiviti pertanian. Hal ini bertujuan memastikan rakyat mendapat bekalan makanan yang berterusan.  Sementelahan itu, kerjaaan perlu meningkatkan import makanan sekiranya masih berlakunya kekurangan seperti bekalan gula dan beras. Untuk menjayakan usaha ini, Taman Kekal Pengeluaran Makanan boleh diwujudkan dan kerajaan juga wajib meningkatkan teknologi pertanian seperti penggunaan mesin, pengusahaan tanah pertanian pada skala besar, menggiatkan tanaman aeroponik, hidroponik atau organik bagi mempercepat dan memperbanyak hasil pertanian yang menyumbang kepada kelangsungan bekalan makanan. Jelasnya, peranan kerajaan amat penting dalam menangani masalah kenaikan harga barangan dan kekurangan bekalan makanan di pasaran.
Selain itu, tidak dinafikan bahawa media massa juga memainkan peranan yang dominan dalam menangani masalah ini. Berperanan sebagai saluran informasi terkini, media massa haruslah mendedahkan isu kenaikan harga barangan serta masalah kekurangan bekalan makanan di pasaran kepada masyarakat. Informasi atau berita tersebut boleh disampaikan menerusi kaca televisyen, iklan, surat khabar, majalah mahupun internet dan sebagainya. Dengan itu, masyarakat akan membuat persediaan awal dalam menghadapi kemelut tersebut. Senarai barangan kawalan juga harus didedahkan kepada masyarakat untuk pengetahuan pengguna, terutamanya semasa hari perayaan. Misalnya, barang-barang yang disenaraikan sebagai barang kawalan adalah seperti daging ayam, gula, telur ayam, tepung dan sebagainya. Implikasinya, masyarakat akan menjadi lebih berpengetahuan dan mampu menjadi pengguna yang bijak serta tidak mudah diperdaya oleh peniaga. Sekiranya berlaku perubahan atau pindaan dalam senarai barang kawalan, maka maklumat tersebut perlu diumumkan supaya hak pengguna tidak tergugat. Kempen-kempen yang efektif juga tidak boleh dikesampingkan misalnya, media massa boleh menggiatkan serta menggerakkan kempen berjimat cermat, kempen pertanian sebagai perniagaan dan sebagainya. Hal ini akan dapat melatih masyarakat agar sentiasa bersedia dan tidak panik ketika masalah kenaikan harga barangan dan kekurangan bekalan makanan di pasaran berlaku. Kempen pertanian sebagai perniagaan juga akan dapat merangsangkan minat golongan muda untuk bergiat aktif dalam bidang pertanian atau menerimanya sebagai kerjaya. Hal ini demikian kerana dengan bertani, kita juga boleh mengaut keuntungan jika dilakukan secara gigih dan merupakan salah satu profesion yang dapat menjamin peningkatan ekonomi. Sekiranya sektor pertanian digiatkan, nescaya bekalan makanan di pasaran akan meningkat. Izharnya, kita sedia maklum betapa pentingnya peranan media massa dalam menangani masalah-masalah ini.
Sementelahan itu, peranan individu dan masyarakat juga tidak boleh diabaikan. Peranan dan kerjasama mereka amat signifikan untuk menangani masalah-masalah ini. Mereka harus faham akan kebaikan amalan bijak berbelanja dan mengamalkan budaya berjimat cermat dalam kehidupan. Segala perbelanjaan yang tidak diperlukan haruslah dikurangkan bagi mengelakkan pemborosan dan pembaziran. Apabila melakukan pembelian atau semasa membeli-belah, masyarakat haruslah menyenaraikan barang yang hendak dibeli dan tidak membeli barangan secara berlebihan. Tindakan bijak ini membolehkan pengguna membeli barangan yang diperlukan sahaja dan dapat mengelakkan perbelanjaan boros, bak kata pepatah, sambil berdiang, nasi masak. Tambahan pula, masyarakat juga harus mengetahui hak-hak sebagai pengguna. Mereka harus memastikan barangan yang dibeli berkualiti dengan harga yang berpatutan supaya tidak mudah dieksploitasi oleh peniaga. Kalau mendapati peniaga yang tidak mematuhi peraturan dan undang-undang, maka kita sebagai mata dan telinga pihak kerajaan harus segera melaporkan hal tersebut kepada pihak berkuasa supaya tindakan tegas seperti penggantungan lesen, penyitaan premis perniagaan mahupun hukuman penjara boleh dijatuhkan jika didapati bersalah. Sebagai pengguna, kita berhak menggunakan kuasa untuk memboikot barangan, peniaga mahupun kedai yang berkaitan apabila berlaku ketidakadilan ekoran perbuatan tidak bertanggungjawab peniaga. Masyarakat juga dinasihati supaya mengelak pembelian panik kerana tindakan sebegini hanya akan menyebabkan stok barangan seperti minyak masak atau gula berkurangan di pasaran. Keadaan inilah biasanya diambil kesempatan oleh peniaga untuk menaikkan harga barangan, bak kata pepatah, menangguk di air keruh. Oleh itu, sebagai tulang belakang negara, kita juga digalakkan melibatkan diri dalam sektor pertanian. Kita seharusnya percaya bahawa segala keringat dalam menjana hasil pertanian adalah penting untuk membanteras kekurangan bekalan makanan di pasaran.
            Tidak kurang pula, peranan peniaga-peniaga dalam mematuhi peraturan dan undang-undang. Segala urusan perniagaan haruslah dijalankan mengikut piawaian perniagaan dan bukan secara sesuka hati. Paling penting peniaga-peniaga juga tidak harus mengabaikan kepentingan orang lain. Misalnya, bersikap individualistik dan hanya mementingkan keuntungan bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing. Apabila telah tersemai nilai-nilai murni dalam diri dan mengamalkan etika perniagaan yang jujur dan adil, maka peniaga tidak akan menyorok barangan mahupun menaikkan harga barangan sewenang-wenangnya.  Lantaran itu, segala kebajikan dan hak pengguna akan dapat dipenuhi dan dijaga. Pengusaha dalam sektor pertanian juga harus bersikap inovatif, terutamanya dalam meningkatkan pengeluaran bekalan makanan. Penyelidikan dan pembangunan atau R&D untuk meningkatkan hasil keluaran haruslah dijalankan kerana kaedah ini merupakan suatu mekanisme untuk menangani masalah kekurangan bekalan makanan. Kaedah ini bukan sahaja akan dapat meningkatkan hasil keluaran malah, kualiti produk yang dihasilkan juga akan lebih baik.  Maka, sudah terang lagi bersuluh bahawa tanggungjawab peniaga dan pengusaha sektor pertanian penting dalam usaha menangani masalah kenaikan harga barangan dan kekurangan bekalan makanan di negara ini.
Akhirulkalam, memandangkan kenaikan harga barangan dan kekurangan bekalan makanan di pasaran mencetuskan banyak masalah kepada masyarakat, pelbagai pihak haruslah menggembleng kudrat  untuk menangani masalah ini, bak kata pepatah, ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni dalam menangani masalah tersebut hingga ke akar umbi.

78 markah
                                                                                                                                                                                                                               
B          - lancar dan laras bahasa sesuai
            - cuma terlalu cuai ejaan
I           - menjawab tugasan
            - huraian jelas dan menarik
           

1 comment:

  1. ini ditulis pelajar tingkatan 5 atau tingkatan 4?

    ReplyDelete