Pusat Bimbingan Karya

Sunday, 1 May 2011

Kesan-kesan yang timbul daripada masalah juvenil

SOALAN 2
Masalah juvenil perlu diatasi dengan bijaksana kerana remaja  hari ini adalah pemimpin pada hari esok. 

Bincangkan kesan-kesan yang timbul daripada masalah juvenil yang berlarutan sehingga menjadi masalah negara.

Marcapada, kita acap kali tersentak dengan peningkatan drastik kes juvenil atau delinkuensi yang melibatkan remaja yang masih berada di bangku sekolah.  Kes juvenil didefinisikan sebagai maslah sosial yang dilakukan oleh remaja yang berumur di bawah 18 tahun. Statistik dan kajian menunjukkan kes juvenil yang merangkumi pecah rumah, merempit, pemgambilan dadah, meragut, merompak, bergaduh  dan vandalisme telah mencapai tahap kritikal dan menunjukkan kecenderungan untuk terus menular sekiranya tidak dibendung dengan segera.  Hal ini amat membimbangkan segenap lapisan masyarakat keranan peranan remaja sebagai pemimpin pelapis negara yang bakal memegang tampuk pemerintahan negara akan terjejas ekoran terjebak dalam salah laku sosial.  Maka, langkah yang menyeluruh dan efektif harus diambil dengan segera untuk mengatasi kebejatan akhlak remaja yang mendorong peningkatan kes juvenil.  Sebelum ini, kita harus menimbang kewajaran membanteras kes juvenil menerusi pemerhatian terhadap kesan-kesan yang timbul daripada masalah juvenil.  Persoalannya, apakah kesan-kesan yang timbul daripada masalah juvenil yang dibiarkan berlarutan, lebih-lebih lagi kesan jangka panjang terhadap negara.
Pada hemat saya, masalah juvenil akan menjejaskan usaha melahirkan modal insan berkualiti.  Pihak kerajaan amat menitikberatkan peranan yang dimainkan oleh remaja dalam pembangunan negara dengan mengatur dan menyusun menjalankan pelbagai usaha untuk melahirkan modal insan yang berkualiti.  Modal insan yang seimbng dari segi jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial menjadi kayu ukur untuk menjadi pemimpin.  Namun, perbuatan remaja yang terlibat dalam kes juvenil secara terang-terangan semakin  bertambah.  Hal ini menggagalkan usaha pihak kerajaan untuk membentuk modal insan kelas pertama.  Penyediaan kemudahan prasarana pendidikan dan pelancaran Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) untuk memupuk nilai-nilai murni dalam kalangan remaja dan melahirkan pelajar cemerlang tidak mencapai matlamat yang disasarkan sekiranya remaja terus melibatkan diri dalam kelangsangan atau keganasan.  Usaha melahirkan modal insan yang berkemahiran turut terbantut kerana remaja mudah terjebak dalam kegiatan vandalisme dan gangsterime untuk mengisi masa senggangnya berbanding dengan memanfaatkan masa tersebut untuk menimba ilmu menerusi pembacaan mahupun membabitkan diri secara aktif dalam aktiviti kokurikulum.  Remaja yang mengejar keseronokan dan mengutamakan hedonisme tentunya tiada keinginan untuk mengasah bakat sedia ada untuk menguasai kemahiran tertentu apabila menjejaki alam pekerjaan yang penuh dengan pancaroba. Remaja merupakan aset negara  yang begitu berharga dan menjadi penentu kepada masa depan sesebuah negara, bak kata pepatah, pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara.  Sekiranya kes juvenil kian meruncing dan tidak mendapat perhatian serius anggota  masyarakat, usaha melahirkan modal insan yang berkualiti akan gagal sepenuhnya.  Tidak syak lagi, fenomena inilah yang membuktikan bahawa masalah juvenil telah menjadi masalah negara. 
Sementelahan itu, penularan kes juvenil akan meningkatkan gejala sosial dalam negara tercinta ini.  Hal ini secara tidak langsung akan menggugat keharmonian masyarakat.  Bayangkan kita harus berwaspada dan sentiasa memegang erat beg tatkala berjalan di kawasan yang sesak dengan orang ramai.  Mata pula harus ligat memerhatikan persekitaran dari semasa ke semasa. Mengapakah kita harus berbuat begitu?  Hal ini demikian kerana kita takut dirompak, disamun atau menjadi mangsa ragut.  Kepekaan sedemikian telah menjadi elemen asas untuk mengelakkan diri daripada menjadi mangsa kes juvenil dan tidak mahu berasa menyesal setelah tragedi menimpa kerana sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna. Memandangkan kejadian ragut yang semakin berleluasa, kita sering berasa sangsi terhadap orang lain, malah sentiasa berprasangka buruk terhadap remaja berdasarkan perspektif sendiri.  Namun, dapatkah kita menghalang diri daripada ditimpa musibah dan mampukah kita berjaga-jaga pada setiap masa?  Jawapannya, tentulah tidak kerana mungkin pada suatu ketika kita alpa dan malang tidak berbau.  Hidup dalam keadaan ini sudah tentu akan meningkatkan tahap stres kerana kita tidak bebas bergerak, mempunyai prejudis terhadap orang lain atau bimbang akan keselamatan diri setiap masa, baik ketika berada di rumah apatah lagi ketika berada di luar rumah.  Maka, keamanan hidup bermasyarakat terjejas ekoran maslah juvenil yang semakin menjadi-jadi.
Tambahan pula, masalah juvenil akan meninggalkan kesan yang ketara kepada industri pelancongan.  Industri pelancongan merupakan antara penyumbang utama Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).  Industri ini bukan sahaja menjana ekonomi negara, malahan menyediakan peluang pekerjaan kepada kebanyakan penduduk negara kita yang berjumlah lebih 28 juta orang. Masalah juvenil menjadi faktor yang boleh merencat kedatangan pelancong ke negara kita.  Meskipun pelancong dari seluruh pelosok dunia tertarik akan kecantikan alam semula jadi negara kita seperti Gua Mulu, Tanah Tinggi Genting dan pusat beli-belah seperti KLCC dan Megamall, mereka akan teragak-agak membuat keputusan untuk melancong di negara kita setelah berfikir tentang keselamatan diri mereka.  Sebagai contoh pemberontakan rakyat yang berlaku di Libya dan Mesir baru-baru ini untuk menuntut pemimpin veteran mereka, Muammar Gaddafi dan Hosni Mubarak untuk meletak jawatan, telah menyebabkan rakyat asing di negara-negara tersebut segera pulang ke tanah air masing-masing kerana bimbang keselamatan diri.  Begitu juga halnya dengan masalah juvenil, walaupun tidak mendatangkan implikasi sebesar negara-negara yang goyah itu, namun turut mendatangkan impak yang sama jika melibatkan kes pembunuhan.  Sebagai contoh masalah juvenil yang melibatkan buli sehingga membawa kematian secara sengaja  mahupun tidak sengaja sebagaimana kes Mohd Farid yang menemui ajalnya setelah dibuli di salah sebuah sekolah si negeri Sembilan dan kes seorang pelajar Tingkatan 3 yang dibuli oleh 9 orang pelajar di asrama sekolah di Oya, Sarawak, tentunya akan menakutkan pelancong.  Keadaan keselamatan yang tidak terjamin ini, akan menyebabkan pelancong membatalkan niat mereka untuk berkunjung ke negara kita.  Hal ini akan mengurangkan pendapatan negara dan tidak mustahil akan membantut hasrat untuk mencapai status negara maju berdasarkan visi kudsi Wawasan 2020 yang dicanangkan oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohammad. 
Di samping itu, imej negara Malaysia di seantero dunia akan tercalar ekoran dibelenggu masalah juvenil.  Pelaburan Langsung Asing (FDI) dan Pelaburan Langsung Domestik (DDI) akan berkurangan kerana pelabur yakin pelaburan mereka tidak akan mendatangkan pulangan yang lumayan.  Mereka tidak dapat menjamin atau menjangka  keselamatan pelaburan mereka di negara kita memandangkan kebejatan akhlak para remaja yang mungkin akan menganggu gugat keselamatan negara secara keseluruhannya.  Kejadian juvenil yang mungkin berlaku di depan mata pelabur asing, akan menghapuskan tanggapan baik mereka terhadap Malaysia.  Mereka akan menganggap Malaysia hanya indah khabar dari rupa.  Natijahnya, kurangnya  kemasukan pelabur asing akan menjejaskan pembangunan negara dan produktiviti negara kerana kekurangan modal untuk menjalankan projek yang berimpak tinggi  yang memerlukan kos yang tinggi.  Malahan, imej negara yang terjejas kerana berleluasanya masalah juvenil dalam kalangan masyarakat turut menjejaskan hubungan diplomatik negara kita dengan negara serantau seperti Singapura, Brunei, Thailand dan negara lain kerana kurang kepercayaan mereka terhadap negara kita.  Sudah pasti, keadaan inilah yang menjadi masalah negara yang perlu diberi perhatian segera.
Akhirulkalam, usaha yang konsisten perlu dijalankan oleh pihak kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagai aur dengan tebing untuk membanteras kes juvenil selepas meneliti implikasi-implikasinya terhadap negara.  Menurut Henry Thoreau, “manusia dilahirkan untuk meraih kejayaan, bukan untuk mengalami kegagalan.”  Oleh itu, usaha mengatasi masalah juvenil akan berjaya dengan kerjasama semua pihak secara konsisten dan bukan sekadar bermusim sahaja kerana bulat air kerana pembuluh, bulat kata kerana muafakat.

76 markah  
                                                                              
B          - ayat gramatis
I           - menjawab tugasan
-   huraian perlu diperjelaskan lagi

No comments:

Post a Comment